Saturday, Sept 12
ANWAR LANCAR "PERISYTIHARAN PERMATANG PAUH"

BUKIT MERTAJAM, 12 Sept (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan gerakan reformasi apa yang dipanggilnya "Perisytiharaan Permatang Pauh" mengambil sempena kawasan pilihan raya Parlimen yang diwakilinya.

Ia mengandungi tujuh perkara sebagai asas perjuangnya untuk membetulkan apa yang beliau dakwa sebagai kepincangan yang berlaku di negara ini.

Tujuh perkara itu termasuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang daripada dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Ia juga bertujuan untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi, memperjuangkan keadilan ekonomi, menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, dan gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau membaca perisytiharan itu ketika berucap kepada para penyokongnya di perkarangan rumahnya di Cherok To' Kun di sini.

"Kami akan menggerakkan reformasi ini, adalah gerakan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang," kata Anwar.

Anwar dan isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di kampungnya kira-kira pukul 4 petang dalam satu konvoi kereta dari Kuala Lumpur.

Anwar menaiki van jenis Honda Odyssey berwarna perak yang turut diiringi beberapa buah motosikal berkuasa tinggi, dan tiba di sini selepas meninggalkan kediamannya di Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara Kuala Lumpur pada pukul 12.35 tengah hari. -- BERNAMA