|
Reformasi: Peristiharan Permatang Pauh
Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud "tidaklah kami mahu melainkan untuk
melakukan islah sekuat daya kami";
Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan
pembaharuan diri dan masyarakat;
Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan
memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula;
Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk
melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:
- Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani, dari kesedaran bahawa
sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan
tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan
disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;
- Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang
lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses
undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
- Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi.
Democrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri
manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk
berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;
- Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi, menjana pertumbuhan dan
pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa
kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk
memenuhi kerakusan individu;
- Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis
manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;
- Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia
kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua
budaya;
- Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia
tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin
persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.
Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan
dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.
Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.
Permatang Pauh
12 September 1998
|