Sunday, Sept 13
ANWAR MULAKAN JELAJAH 'REFORMASI'

ALOR SETAR, 13 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memulakan 'jelajah reformasi' ke seluruh negara untuk mendapatkan sokongan dan simpati selepas beliau dipecat daripada Kabinet dan Umno atas dakwaan bertatalaku tidak bermoral.

Beliau pulang ke kawasan Parlimennya, Permatang Pauh, pada tengah hari dan melancarkan gerakan reformasi dengan apa yang dipanggilnya 'Perisytiharaan Permatang Pauh'.

Ia mengandungi tujuh perkara sebagai asas perjuangannya untuk membetulkan apa yang beliau dakwa sebagai kepincangan yang berlaku di negara ini.

Tujuh perkara itu ialah menegakkan keadilan untuk semua; membersihkan institusi dan proses undang-undang daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah; mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi; memperjuangkan keadilan ekonomi; menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama; membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa; dan memperkukuhkan jati diri.

Pada sebelah malam, Anwar mengadakan ceramah di Pondok Derang, 25 km dari sini, yang mana beliau mendakwa sokongan terhadapnya semakin meningkat baik di dalam mahupun di luar negara.

Beliau berkata pelbagai pihak telah menyatakan sokongan dan bersedia menghulurkan bantuan terhadap gerakan reformasinya.

"Penulis, pelukis, pemandu teksi, doktor, peguam dan banyak lagi pihak di dalam negara berkata bahawa mereka akan memberi sokongan terhadap saya," katanya.

"Malahan pemandu-pemandu teksi berkata mereka sanggup menjadi agen reformasi dengan memainkan kaset ucapan saya dalam teksi mereka," katanya.

Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Ulamak Kedah itu dihadiri lebih 10,000 orang yang ada di antaranya datang dari Perlis.

Anwar tiba di situ pada pukul 10.15 malam, dengan diiringi para penyokongnya termasuk anggota Exco Pemuda Umno Ruslan Kassim.

Majlis ceramah itu bermula kira-kira pukul 9 malam dengan penjelasan oleh Peguam Anwar, Zulkifli Nordin, yang menyangkal tuduhan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar memulakan ucapannya pada kira-kira pukul 10.30 malam dengan penuh emosi dan lantang mengkritik pelbagai pihak disambut dengan takbir dan teriakan 'reformasi'.

Petang ini beliau dijangka bertemu dengan penyokongnya di Melaka. -- BERNAMA